MAKANAN DARI SEDILI BESAR
Setiap negeri mempunyai juadah tradisional mengikut citarasa masing-masing dan mempunyai keistimewaan makanan tersendiri. Kalau anda datang ke Johor pasti anda perlu merasa laksa Johor, asam pedas dan macam-macam lagi. Setiap negeri, daerah dan kampung mempunyai makanan tradisi yang diturunkan dari nenek moyang masing-masing.
Sedili Besar juga mempunyai keunikan juadah tersendiri. Uniknya Sedili Besar dari kampung lain ialah makanan di situ lebih ke arah makanan pantai timur. Antara makanan yang menjadi tanda keunikan Sedili Besar adalah Mee Rebus Sedili. Mee Rebus Sedili merupakan juadah bihun yang dihidang bersama asam pedas ikan. Keenakaannya boleh dirasai dari ikan segar yang dimasak asam pedas yang tidak begitu pekat.
Selain itu juga terdapat makanan yang lain seperti keropok lekor, ikan/udang/sotong/ketam celup tepung, roti berlauk ikan dan sebagainya.
Mee Rebus Sedili dan keropok lekor merupakan makanan yang agak terkenal disitu kerana setiap pelancong dari negeri atau negara luar yang datang pasti akan mencari makanan tersebut. Di situ juga terdapat kilang yang memproses keropok sendiri dengan menggunakan hasil tangkapan ikan yang segar.